MEMORI PERJALANAN (SIBU KE DARO)
Tepat jam 11.00 pagi aku tiba di pangkalan jeti muara lassa daro ni, perjalanan diteruskan ke destinasi sebenar.
Sepanjang perjalanan darat dari sibu yang melalui Tanjung manis, kemudiannya menempuhi jalan kecil Kg Seridim dan seterusnya jalan di Daro, aku agak tertarik dengan papan tanda di bahu jalan dengan tulisan "Dilarang Bercucuk Tanam".
Terdetik di hati aku, punyalah rajin orang di Sarawak ni sampai di bahu jalan pun bercucuk tanam. Aku tersenyum keseorangan tanda geli hati. Fikiranku menerawang jauh, kalau di semenanjung tak payah letak papan tanda,memang tiada orang yang rajin nak bercucuk tanam di tepi jalan. Jangankan tepi jalan, bercucuk tanam di halaman rumah pun belum tentu.
Jam comelku menunjukkan sudah hampir 11.30 pagi, tidaklah jauh mana Pejabat Perikanan Laut Daro ini dari Pangkalan jeti tadi. Kedatanganku disambut manis oleh ketua pejabat yang aku kira masih muda belia.
Tanpa berlengah masa, aku meneruskan kerja-kerja hakiki aku seperti biasa dan ada sikit lagak superhero, biasalah kan mesti tampak hebat walaupun kerja biasa sahaja.
12.45 tghr
Selesai melaksanakan pemeriksaan yang berpayungkan cuaca cerah dan membahang amat menguji ketahanan mental dan fizikalku. Namun ini bukan kali pertama aku mengalami situasi ini. Sebenarnya aku tidak mengendahkan semua itu, misiku hanya untuk menyelesaikan semua kerja tepat pada masanya.
1.30 petang
Aku dibawa ke sebuah restoran kecil di sini yang mensajikan menu ayam penyet yang istimewa dan air special daro. Apa yang lebih menarik perhatianku adalah menu makanan Ringan yang seperti otak-otak, orang sekitar daro memanggilnya Pipus. Ianya diperbuat daripada isi ikan atau sotong, paling sedap adalah isi ikan yu atau ikan bulu ayam. Ramuannya hanya isi ikan bersama rempah herba dan kemudiannya dibakar.
2.30 petang
Aku meneruskan kerja di pejabat berkenaan sehingga jam 3.30 petang. Sebelum pulang aku menerima cenderahati berupa udang salunjur iaitu udang kering yang telah disalai. Menurut kata si pemberi, udang ini sangat mahal harganya iaitu satu kilogram sebanyak 90 ringgit malaysia. Kemudian aku dibawa melihat deretan kedai-kedai di pekan kecil daro. Terdapat beberapa kedai dengan nama unik seperti komei bakeri dan kedau. Rupanya bahasa unik itu adalah bahasa melanau.
4.00 petang
Aku bertolak balik semula ke Sibu melalui feri dan jalan darat yang sama. Hampir jam 7 petang baru aku tiba ke hotel bagi melepaskan lelah dan mencari tenaga dan semangat baru untuk meneruskan perjalanan keesokkan harinya ke Miri.
Sekian.
Comments