CERPEN:MENGURAT SI ARROGANT!

Cinta Nur Alisya mundar mandir di ruang tamu. Entah ke berapa kali dia ke sana ke sini dah macam polis pencen buat rondaan. Eh,eh..polis dah pencen mana ada buat rondaan lagi. Apalah!

“Cuba duduk dulu Cinta. Pening Mak Lang tengok kamu ke hulur ke hilir macam ni.”luah Mariam. Kepalanya sudah terteleng-teleng mengikut gerak langkah anak saudaranya itu.

“Cinta nak buat macam mana sekarang ni Mak Lang? Takkan nak buat apa yang Pak Lang suruh tu.”Cinta sudah melabuhkan punggung di sebelah Mak Langnya. Kepalanya juga sudah pening kerana terlalu lama mundar mandir tadi.

“Mak Lang tak tahulah nak buat apa. Kita fikir sama-sama ye jalan penyelesaiannya.”

“Hmm..itu pun kalau jumpa jalanlah. Kalau sesat macam mana? Tak jumpa jalan keluarlah jawabnya.”seloroh Cinta.

“Orang cakap betul-betul dia main-main pula.”marah Mariam. Cinta sudah ketawa. Kita jangan stress-stress. Kena cool barulah idea mari.

“Tapi Cinta tak faham kenapa Pak Lang boleh suruh Cinta yang buat semua tu? Cinta bukannya pakar dalam hal-hal macam ni.”

“Sebab Cinta sorang je perempuan. Takkan nak suruh abang-abang Cinta pula. Lain ceritanya nanti.”

Ye tak ye juga! Takkan abang-abangnya pula yang nak dikenenkan jutawan muda tu. Gila ke apa? Nanti orang ingat gay pula.

“Cinta nak naik bilik dululah. Nak tenangkan fikiran.”Cinta sudah bangun dan terus melangkah naik ke biliknya.

Sebaik masuk ke bilik Cinta terus membaringkan diri di atas katil. Tangan diletakkan di belakang kepala. Otaknya teringat-ingat kata-kata Pak Langnya semalam. Semuanya tergambar indah di kotak fikirannya saat ini.

“Pak Lang ada benda nak cakap dengan Cinta ni.”Halim membetulkan nada suaranya.

“Apa dia Pak Lang? Nampak macam serius je.”

“Memang serius pun. Cinta kena dengar betul-betul tau. Jangan tercicir walau sepatah pun dari butir bicara Pak Lang ni.”

“Amboi,amboi. Pak Lang bercakap dah macam cikgu pencen.”gurau Cinta. Kepalanya terus diluku pak saudaranya itu.

“Pak Lang memanglah cikgu pencen. Aku bagi makan kasut karang budak bertuah ni.”gumam Halim. Cinta sudah tersengeh-sengeh.

“Apa dia Pak Lang hal yang serius sangat tu? Cecite..cecite..”sengaja Cinta membuat seperti suara Usop Wilcha. Pak Lang sudah menggelengkan kepala.

“Macam ni kisahnya. Pak Lang ni ada kawan lama yang baru sahaja bertemu semula selepas hampir 10 tahun tidak bersua muka.”Pak Lang bercakap dalam bahasa baku. Cinta sudah ketawa terbahak-bahak.

“Pak Lang janganlah cakap macam tu. Cuba cakap biasa je. Nak tergelak Cinta dengar. Pak Lang dah macam orang nak bercerita kisah zaman perang dulu.”gadis itu terus-terusan ketawa. Tiba-tiba dia terjerit bila ada tangan yang mencubit lengannya. Wajah Mak Lang dipandang dengan sengihan.

“Ketawa lagi macam tu. Mak Lang sumbat dengan cili mulut tu baru tahu. Tak senonoh betul anak dara sorang ni.”bebel Mak Lang.

“Yalah. Pak Lang,teruskan balik cerita Pak Lang tadi.”ujar Cinta pura-pura serius.

“Kawan Pak Lang tu sekarang dah bersara. Dulu dia ada syarikat sendiri tapi sekarang anak dia yang uruskan. Anak dia tu pun ada syarikat hasil usaha sendiri. Anak dia tu sekarang dan dikategorikan sebagai jutawan muda. Umur pun baru 30. Masih bujang tran tang tang…”kata-kata Pak Lang dipotong Cinta sekali lagi.

“Cop!cop! pak Lang ni nak cerita pasal kawan pak Lang tu ke pasal anak dia?”

“Sabarlah. Orang tak habis cerita lagi. Suka sangat menyampuk. Aku hempuk karang baru tahu.”geram pak Lang bersuara. Cinta seperti biasa hanya tersengeh.

“Kawan pak Lang tu minta tolong ubah anak dia sebab anak dia tu asyik sibuk dengan kerja. Kalau berkawan pun kawan dengan geng-geng kaya dia je.”

“Ooh..tapi apa kena mengena dengan kita? Kenapa minta tolong dengan Pak Lang pula? Pak Lang bukannya pakar motivasi pun.”luah Cinta kehairanan.

“Kawan Pak Lang tu dah cuba banyak cara untuk ubah anak dia tu tapi semuanya tak menjadi. Kawan pak Lang dengan isterinya nak carikan calon isteri untuk anaknya tu. Nak cari orang yang boleh ubah sikap anaknya itu.”

“Cinta masih tak faham kenapa kita yang perlu terlibat. Pak Lang sendiri cakap yang kawan pak Lang tu orang kaya. Takkanlah tak ada anak kenalan-kenalan perniagaan mereka yang boleh nak dijadikan menantu. Bukan ke setaraf tu. Biasanya orang kaya mestilah nakkan menantu dari keluarga yang kaya juga.”

“Memang betul. Ramai dah anak-anak ahli perniagaan yang cuba digandingkan dengan anak kawan Pak Lang tu tapi semuanya tak menjadi.”

“Kenapa pula? Anak kawan Pak Lang tak setujulah tu.”

“Bukan anak kawan pak Lang yang tak setuju tapi si perempuan yang tiba-tiba tarik diri. Semua tak tahan dengan perangai anak kawan pak Lang tu.”

Cinta ketawa selepas mendengar cerita pak Langnya. Lelaki yang kena reject! Biar betul. Dahlah mamat tu pegang title jutawan muda. Ada juga ye yang tak berminat dengan title tu. Tak nak ke jadi isteri jutawan muda?

“Buruk sangat ke mukanya sampai kena reject?”

“Bukan buruk muka tapi perangai. Kawan pak Lang kata perangai anaknya itu tak dapat nak diramal. Kalau marah dah macam puting beliung melanda. Habis semua dia nak marah. Tapi satu je yang perangainya elok. Konsisten pada kerja. Sebab tu dia boleh berjaya sampai ke tahap ini.”

“Hmm..habis apa yang pak Lang nak Cinta tolong?”

Pak Lang berdehem-dehem sebentar. Cara duduknya dibetulkan. Muka Cinta dipandang penuh pengharapan.

“Pak Lang nak Cinta yang tolong ubah anak kawan Pak Lang tu.”

“Tak naklah!”cepat sahaja Cinta memotong.

“Pak Lang dah beritahu kawan Pak Lang yang Cinta boleh ubah perangai anak dia tu.”

“Mana boleh Pak Lang buat macam tu tanpa tanya Cinta dulu. Cinta tak nak.”Cinta sudah memasamkan mukanya.

“Pak Lang minta maaf. Tapi Pak Lang kesian sangat tengok kawan Pak Lang yang mengharap tu. Dia memang nak sangat rasa ada menantu.”

“Tapi kenapa mesti Cinta? Tak ada orang lain lagi ke?”luluh sahaja suara Cinta.

“Pak Lang harap sangat yang Cinta boleh tolong kali ni. Sebenarnya kawan Pak Lang tu pernah tolong Pak Lang sebelum ni. Terlalu besar pertolongannya terhadap Pak Lang. Pak Lang dah besarkan Cinta dari Cinta kecil lagi. Pak Lang tahu hati budi Cinta. Pak Lang tak pernah minta apapun dari Cinta sebelum ni. Tapi kali ni Pak Lang betul-betul mengharap.”Halim bersuara lirih. Berharap benar yang anak arwah abangnya itu akan bersetuju.

“Bukan Cinta tak nak tapi…”sedih sahaja suara Cinta.

“Tapi apa?”soal Pak Lang dan Mak Lang hampir serentak.

“Anak kawan Pak Lang tu boleh ke terima Cinta ni? Cinta bukan orang kaya yang setaraf dengan dia jauh sekali nak bergandingan dengan jutawan muda tu.”Cinta merendah diri.

“Keluarga kawan Pak Lang tu tak pandang semua tu. Pak Lang nak Cinta hidup senang. Pak Lang dan Mak Lang dah janji dengan arwah abah dan mak Cinta yang kami akan jodohkan Cinta dengan lelaki yang datangnya dari keluarga baik-baik.”terang Pak Lang.

“Keluarga je baik anak dia belum tentu baik. Kalau dah ramai perempuan tolak mesti perangainya tak elok. Gerun pula Cinta fikir.”

“Sebab itulah nak cari seorang perempuan yang boleh bantu anak dia tu. Biar perangai dia serupa manusia sikit.”

“Apa yang Cinta kena buat kalau Cinta setuju?”

“Hmm…kalau setuju hujung minggu ni Pak Lang ajak kawan pak Lang dan isterinya tu datang makan malam dekat sini. Cinta boleh berkenalan dulu dengan bakal mentua Cinta tu.”Pak Lang sudah tersenyum gembira. Anak saudaranya itu memang baik.

“Tapi Cinta ada satu syarat.”ujar Cinta tiba-tiba.

“Apa dia? Cakap je. Pak Lang akan cuba tunaikan.”

“Kalau Cinta tak berjaya ubah anak kawan pak Lang tu dalam masa 3 bulan,Cinta akan tarik diri.”

Syarat Cinta itu membuatkan Halim terdiam. Kalau itu syarat Cinta dia akan berbincang dengan rakannya suami isteri. Dia yakin Cinta akan berjaya.

“Baiklah. Pak Lang ucapkan terima kasih pada Cinta sebab sanggup berkorban demi Pak Lang.”sebak suara lelaki itu.

Cinta hanya tersenyum sahaja. Dalam kepalanya sudah terbayang-bayang bagaimanakah rupa jutawan muda yang bakal diubahnya nanti. Buruk sangat ke perangainya?

Cinta! Cinta!

Cinta tersedar dari lamunan bila namanya dipanggil. Jam di atas meja dipandang. Agak lama dia flashback perkara yang terjadi semalam. Mukanya diraup beberapa kali. Suara Mak Lang masih kedengaran memanggil namanya.

“Kenapa Mak Lang?”soal Cinta apabila pintu bilik dibuka.

“Jom turun makan. Cinta buat apa dalam bilik ni?”

“Tak ada buat apalah. Cinta baring-baring je tadi. Along dengan angah dah balik ke?”

“Dah. Semua tengah tunggu Cinta sekarang ni. Jom turun.”Mak Lang menggamit tangan anak saudaranya itu.

Di meja makan semua dah ada. Dua abangnya itu hanya tersengeh memandang Cinta. Pak Lang dan Mak Lang tak ada anak jadi merekalah yang menjaga Cinta adik beradik dari mereka kecil.

“Tuan puteri dah turun.”sindir abang sulungnya Adam. Cinta hanya menjeling geram.

“Along ni sengaja nak cari gaduh kan.”Cinta bersuara geram.

“Ala..baru gurau sikit dah tak boleh. Orang nak kahwinkan.”ujar Adam lagi sambil tersengeh.

“Siapa nak kahwin? Cinta ke?”Aiman pula bercanda. Sengaja ingin mengusik adiknya itu.

“Angah pun nak cari gaduh ke?”Cinta mengetap bibir. Pak Lang dan Mak Lang hanya menggeleng melihat tiga beradik itu.

“Boleh ke Cinta ni nak ubah anak orang kaya tu?”soal Adam kini lebih serius. Risau juga memikirkan yang adiknya itu ada tugas yang perlu diselesaikan.

“InsyaAllah. Pak Lang yakin dengan Cinta ni. Pak Lang harap Cinta akan bahagia dengan pilihan Pak Lang ni. Pak Lang dah anggap Cinta macam anak Pak Lang sendiri.”

“Terima kasih Pak Lang. Along dengan angah kena support Cinta tau. Kalau Cinta minta tolong jangan tak tolong pula.”pinta Cinta mengharap. Dia bukannya tahu sangat fi’il orang lelaki ni.
“Of course. Along dengan angah sentiasa ada untuk Cinta. Apa langkah Cinta yang pertama?”Aiman pula menyoal.

“Tak tahu lagi. Hujung minggu ni baru nak berkenalan dengan keluarga kawan Pak Lang tu. Tapi Cinta tak berapa yakin juga ni.”akhirnya terluah juga apa yang bersarang dalam hatinya.

“Kenapa tak yakin pula?”soal Adam sambil tangannya mencedok kuah tom yam masakan Mak Lang.

“Pak Lang ada cakap yang perempuan-perempuan yang reject anak kawan Pak Lang tu semuanya dari golongan keluarga yang kaya raya. Yang berpangkat. Kalau mereka yang setaraf pun dilayan dengan teruk oleh anak kawan Pak Lang tu inikan pula Cinta yang tak ada apa-apa.”

“Itu Cinta jangan risaulah. Pak Lang tahu Cinta boleh handle. Sedangkan dua mamat perangai macam hantu ni pun Cinta boleh settle inikan pula baru seorang.”gurau Pak Lang sambil menjeling dua anak saudara lelakinya.

Adam yang menghirup tom yam tersedak-sedak. Aiman juga sudah memandang Pak Lang mereka. Kedua beradik itu kemudian saling memandang antara satu sama lain.

“Tak baik Pak Lang cakap kitorang macam tu. Kitorang ni baiklah.”Aiman bersuara tak puas hati. Cinta sudah ketawa mengekeh-ngekeh. Sesekali mengenakan dua abangnya itu memang best. Selalunya dia je yang kena buli.

“Betul tu. Along dengan angah ni dikategorikan sebagai lelaki paling baik dan macholah. Kira lelaki melayu terakhirlah ni.”sambung Adam. Habis riuh satu meja makan dengan gelak ketawa mereka.

“Masuk lif tekan sendiri. Tak malu betul. Pak Lang memang terbaik.”Cinta membuat high five dengan Pak Langnya. Mak Langnya pula sudah menjeling marah. Anak gadis itu memang tak makan saman.

“Dah,dahlah. Dari tadi asyik bercerita je. Mak Lang yang mendengar ni pun jadi pening. Apa yang penting sekarang ni kita kena sokong Cinta. Mak Lang nak tengok sejauh mana anak kawan Pak Lang tu boleh mengelak dari Cinta yang cantik dan manis ini..”belum habis Mak Lang cakap Adam dan Aiman sudah memotong.

“Dan juga garang macam singa lapar.”ujar keduanya serentak. Cinta terus bangun dan mencubit kedua abangnya. Biar rasa! Biar berbirat tangan tu.

@@@@@@@@@@@

Seperti yang dijanjikan hujung minggu itu Pak Lang telah mengajak keluarga kawannya datang makan malam di rumah seterusnya untuk memperkenalkan Cinta. Cinta membantu Mak Lang memasak lauk pauk di dapur. Walaupun tak mahir mana tapi bolehlah dari tak pandai langsung. Selepas solat maghrib Cinta mengenakan blaus bewarna putih berbunga maroon dan berseluar slack putih. Tudung bewarna putih juga disarungkan di kepala. Nampak begitu cantik dan comel sekali. Sesuai dengan kulitnya yang putih kemerahan.

“Cinta,tetamu kita dah sampai.”laung Mak Lang di muka pintu.

“Baik Mak Lang.”perlahan sahaja Cinta menjawab. Entah kenapa dia jadi risau. Macam mana agaknya penerimaan keluarga kawan Pak Lang itu? Hatinya tiba-tiba cuak.

“Cinta,boleh along dan angah masuk?”tiba-tiba suara Adam pula kedengaran di luar bilik. Cinta terus membuka pintu untuk abang-abangnya itu.

“Wah! Cantiknya adik along ni.”puji Adam. Cinta hanya mencebik.

“Buat lagi muka macam tu. Along tarik bibir tu baru tahu. Biar jadi mulut itik.”ugut Adam.

“Sampainya hati along. Tak apa,angah ada.”Cinta terus berdiri hampir di sebelah Aiman.

Adam hanya menggosok perlahan kepala adiknya. Tak sangka begitu cepat masa berlalu. Ibu bapa mereka meninggal ketika Cinta baru berusia setahun dan mereka berdua ketika itu masing-masing baru sepuluh dan dua belas tahun.

“Cinta yakin dengan apa yang Cinta nak buat ni? Jangan sebab terpaksa Cinta setuju nak ubah dan kahwin dengan ‘budak’ tu.”Adam bersuara perlahan. Mereka panggil si jutawan muda tu ‘budak’ sebab mereka masih belum tahu namanya.

“Cinta buat semua ni demi balas jasa Pak Lang selama ni. Pak Lang yang dah banyak bantu besarkan kita bertiga. Tak tega Cinta nak hampakan harapan Pak Lang ni. Pak Lang dan Mak Lang dah macam ibu bapa kita.”

“Tapi Cinta betul-betul ikhlas ke ni? Jangan nanti Cinta terseksa pula. Along dengan angah nak tengok Cinta bahagia.”Aiman pula bersuara. Cinta hanya tersenyum. Abang-abangnya memang terbaik!

“InsyaAllah. Tapi Cinta belum confirm lagi jadi kahwin ke tidak dengan ‘budak’ tu. Cinta ada bagi syarat pada Pak Lang. Kalau dalam tempoh 3 bulan Cinta tak dapat ubah ‘budak’ tu,Cinta akan tarik diri.”

“Ooh..kalau Cinta dah cakap macam tu kami doakan aje semuanya selamat. Kalau ‘budak’ tu apa-apakan Cinta cepat-cepat beritahu along dengan angah. Biar kami pergi lanyak ‘budak’ tu.”Adam memberi pesan. Cinta tersenyum.

“Terima kasih along,angah.”terharu Cinta jadinya.

“Dah,dah. Mari kita turun. Bakal mentua Cinta dah ada dekat bawah tu.”Aiman memeluk bahu adiknya itu. Mereka melangkah turun bersama-sama.

Dengan perlahan-lahan langkah kaki tiga beradik itu menghampiri ruang tamu. Ada kelibat dua manusia sebaya Pak Lang dan Mak Lang lagaknya. Adam dan Aiman bersalaman dengan kawan Pak Lang manakala Cinta bersalam dengan isterinya yang dari tadi tidak lepas memandang Cinta.

“Ini ke Cinta Nur Alisya?”soal wanita itu. Cinta hanya mengangguk. Tubuh Cinta terus dipeluknya.

“Lawa budaknya. Kalau macam ni saya setuju aje.”tiba-tiba wanita itu berkata begitu.

“Err..puan ni…”ayat Cinta tergantung. Tak tahu nak panggil apa.

“Panggil je mak cik ni auntie Ariana. Semua panggil macam tu. Pak cik pula panggil je uncle Nawab.”ujar wanita itu sambil tersenyum. Manis senyumannya.

“Kita bincang lepas makan ye. Hidangan pun dah siap tu.”ujar Pak Lang selepas beberapa minit.

Semuanya mengangguk setuju. Selepas makan barulah hal Cinta diteruskan. Auntie Ariana mengeluarkan sekeping foto dan dihulurkan pada Cinta. Terpinga-pinga Cinta mengambilnya.

“Ini gambar anak auntie yang auntie cerita tu. Namanya Tengku Naqiuddin. Tapi panggil Naqid je.”terang auntie Ariana. Penjelasan wanita itu membuatkan Cinta kelu. Tengku? Jauhnya pangkat antara mereka. Makin seram pula Cinta dibuatnya. Keyakinan yang dikumpul tadi semakin mengendur pula.

“Uncle dengan auntie nak sangat tengok dia kahwin tapi susahnya kemain. Budak ni bila disuruh kahwin liat bukan main lagi. Kalau suruh uruskan perniagaan bukan main laju. Belum suruh dah buat.”bebel auntie Ariana.

“Tentu Cinta dah tahu hal sebenarnya kan. Kami harap Cinta sudilah untuk mencuba merubah anak auntie dan uncle tu.”uncle Nawab pula bersuara.

“Cinta dah bagi persetujuan pada Pak Lang. Cinta juga ada satu syarat yang Cinta pohon auntie dan uncle setuju.”

“Apa dia? Cinta cakap je janji Cinta setuju nak bantu kami dan jadi menantu kami.”

“Kalau dalam masa 3 bulan Cinta tak dapat nak ubah perangai Tengku Naqiuddin tu,Cinta akan tarik diri.”

Kelihatan auntie Ariana dan uncle Nawab saling berpandangan. Raut wajahnya seperti tidak setuju.

“Berat kami nak setuju tapi nak buat macam mana kalau itu kata Cinta. Kesudian Cinta untuk mencuba ni pun kami dah cukup bersyukur. Kami setuju dengan syarat Cinta tu. Tapi kalau Cinta dapat ubah Tengku Naqiuddin Cinta kena janji Cinta akan menjadi menantu kami.”uncle Nawab mencapai kata putus.

“Cinta janji.”ujarnya dengan senyuman lega.

“Tapi auntie harap sangat Cintalah gadis yang kami cari tu.”doa auntie Ariana.

Selepas berbincang serba sedikit uncle Nawab dan auntie Ariana meminta diri. Kata mereka esok mereka akan memperkenalkan Cinta dengan Tengku Naqiuddin. Malam itu tak boleh nak tidur Cinta jadinya. Gambar yang diberi auntie Ariana tadi diambil dan ditenung lagi. Lelaki berkaca mata itu memang serius wajahnya. Hampir jam 2 pagi baru Cinta tertidur.

“Cinta pergi dulu Mak Lang,Pak Lang.”pamit Cinta sambil menyarung kasut. Baju kurung di badan di betulkan. Kedua abangnya sudah ke tempat kerja masing-masing.

“Hati-hati.”pesan Mak Lang. Takut juga sebab ini hari pertama Cinta akan memulakan misinya.

“InsyaAllah. Cinta pergi dulu.”tangan Pak Lang dan Mak Langnya disalam. Pemandu uncle Nawab sudah menunggunya.

@@@@@@@@@@

Dengan bacaan Bismillah Cinta melangkah keluar dari kereta. Hatinya sudah berdebar-debar kerana terlalu risau. Kerisauannya sedikit hilang bila terpandangkan auntie Ariana yang sedang menyiram pokok di taman.

“Assalamualaikum auntie.”Cinta bersalaman dengan wanita itu.

“Waalaikummusalam. Dah sampai pun. Kejap ye,auntie nak sudahkan siram pokok ni. Cinta duduklah dulu.”pelawa auntie Ariana sambil matanya menunjukkan bangku yang ada di taman mini itu. Cinta tanpa banyak soal hanya menurut.

“Sengaja auntie suruh Cinta datang hari ni sebab hari ni kan Ahad jadi Naqid tak kerja. Bolehlah Cinta kenal-kenal dengan Naqid.”auntie Ariana tersenyum. Cinta hanya tersenyum kelat. Mendengar namanya sahaja jantungnya sudah berdebar inikan pula nak bersua muka. Alahai! Macam manalah perangai si Naqiuddin ni sebenarnya?

“Jom masuk. Uncle ada dekat dalam tengah baca paper. Cinta dah breakfast? Kalau belum mari makan sekali.”

“Dah auntie di rumah tadi. Terima kasih.”

“Kenapa ni? Cinta tak selesa di rumah auntie ke?”risau auntie Ariana bersuara.

“Tak adalah. Cinta okey cuma nervous sikit.”jujurnya menjawab. Auntie Ariana tersenyum.

“Anak auntie tu bukannya raksasa yang Cinta harus takuti. Auntie pun pening macam mana nak cakap pasal anak auntie ni. Cinta kena tengok dan kenali sendiri insan bernama Tengku Naqiuddin tu.”

“Mama! Mana baju kerja Naqid?”tiba-tiba satu suara terdengar kuat dari tingkat atas. Wajah yang ada di foto semalam kini berada di depan mata. Cinta mula kalut kerana lelaki itu hanya memakai tuala tanpa baju.

“Nak buat apa baju kerja? Hari ni kan hari Ahad.”balas auntie Ariana.

“Naqid nak pergi pejabatlah hari ni. Ada client nak jumpa.”balas lelaki itu sambil mengelap-ngelap rambutnya dengan tuala kecil. Merah muka Cinta saat ini. Matanya hanya memandang lantai.

‘Tak senonoh punya laki. Tak tahu ke yang dia ada tetamu boleh pula buat aksi macam tu. Lainlah awak tu pakai baju. Ni nak tayang bodylah tu.’bebel Cinta sendiri.

“Naqid tak payahlah ke pejabat hari ni. Kan mama dah beritahu semalam yang mama nak kenalkan Naqid dengan seseorang.”

“Tapi client tu penting untuk syarikat Naqid mama.”lelaki itu membantah. Baginya client adalah lebih penting dari calon-calon perempuan yang di bawa mama.

“Tetamu yang mama nak kenalkan ni pun penting juga! Lagi penting dari semua urusan syarikat Naqid tu.”tegas suara auntie Ariana. Cinta hanya diam. Matanya sempat menjeling ke atas. Lelaki itu sedang memandangnya tajam. Cinta telan liur. Aduh! Mahu pengsan macam ni.

“Naqid pergi bersiap nanti kita sarapan sama-sama.”suara auntie Ariana sudah kendur.

“Mari Cinta,kita ke dapur.”ajak auntie Ariana. Sekali lagi Cinta memberanikan diri melihat ke atas. Tubuh lelaki itu sudah tiada. Satu keluhan lega dilepaskan.

Cinta duduk berhadapan dengan Tengku Naqiuddin yang sedang enak menjamu selera tanpa menghiraukan kelibatnya. Lelaki itu buat seperti dia tiada di situ. Lebih tepat kewujudannya langsung tak dipedulikan.

“Lepas makan ni Naqid ajaklah Cinta jalan-jalan. Boleh kenal lebih rapat.”ujar auntie Ariana tapi tidak langsung mendapat balasan dari anaknya. Cinta hanya menjeling geram. Hatinya mendongkol marah.’kurang ajar punya anak!’

“Auntie harap Cinta dapat bersabarlah dengan kerenah Naqid ni ye.”senyuman auntie Ariana menyejukkan hati Cinta. Macam manalah mak ayah punyalah baik tapi anak hampeh!

“Jom!”lepas makan tiba-tiba Naqid mengajaknya. Cinta hanya memandang pelik. Wajah auntie Ariana dipandangnya meminta kepastian. Wanita itu mengangguk dalam senyuman.

Cinta bangun dan mengikut Naqid dari belakang. Lelaki itu menuju ke kereta BMW 5 series bewarna hitam dan terus masuk. Cinta hanya termangu di tepi. Bunyi hon yang kuat mengejutkan Cinta.

“Masuklah!”arah lelaki itu kasar. Dengan pantas Cinta membuka pintu dan masuk ke dalam.

Sepanjang perjalanan mereka hanya diam. Cinta tak tahu mana arah tujuan mereka. Nak tanya macam menempah bala pula. Soalannya berjawab bila kereta sudah berhenti di satu bangunan syarikat. Cinta mengerut dahi. Nak buat apa ni?

“Aku nak jumpa client. Kau kalau nak tunggu aku dekat dalam pun boleh. Kalau kau nak balik pun boleh. Kau fikirlah sendiri.”selepas berkata lelaki itu terus beredar selepas mengunci keretanya. Sekali lagi Cinta termangu.

‘Dia ajak aku keluar ni sebab nak mengaburi mata auntie dan uncle lah ye. Rupa-rupanya dia nak jumpa client.’Cinta menggumam geram. Dahlah dia tak biasa di tempat itu. Matanya memandang sekeliling. Eee!!!geramnya. Cinta terus menyepak batu yang ada di kakinya.

“Auch!!sakitlah bodoh!”marah satu suara. Cinta terus melihat Tengku Naqiuddin yang menggosok-gosok dahinya. Wajah lelaki itu masam mencuka.

“Ma..maaf..”tergagap Cinta bersuara.

“Maaf! Maaf! Sebelum buat tak nak fikir.”marah lelaki itu. Dia membuka pintu kereta belakang dan mengambil beberapa fail dan terus kembali masuk ke dalam bangunan. Cinta mengeluh berat. Baru hari pertama dah dua tiga kali dia dimarahi. ‘Muka hensem perangai macam gorilla.’marahnya. Rasa nak nangis pun ada. Dia tidak pernah dimarahi sebegitu. Cinta mengambil keputusan untuk menelefon sahabatnya. Nombor Sarah ditekan dan beberapa minit suara kawannya kedengaran. Cinta meminta Sarah mengambilnya dan dia ada hal yang nak dibincangkan dengan rakannya itu.

“Kenapa ni? Monyok je muka. Cinta yang aku kenalkan sentiasa ceria.”Sarah tersenyum. Cinta diam sambil menyedut jus tembikai di depannya. Huh! Lega.

“Er..aku nak tanya something ni. Kau kan pakar dalam hal-hal cintan cintun ni.”perlahan sahaja Cinta bersuara.

“Kau tengah bercinta ke sekarang ni? Dengan siapa? Sejak bila?”bertalu-talu Sarah menyoal. Excited kerana setahunya Cinta tidak pernah mahu ambil tahu pasal cinta. Tetapi sekarang apa sudah jadi?
“Belum bercinta lagi. Aku kena tawan hati dia dulu. Lelaki tu anak kawan Pak Lang aku.”terang Cinta.

“Ooh..dengar macam menarik. Selalunya pilihan orang tua ni yang terbaik buat kita. Tapi,kenapa kau kena tawan hati dia dulu? Kenapa tak kahwin terus?”

“Aku tak kenal pun lelaki tu. Dia pun tak kenal aku. Takkanlah nak kahwin tiba-tiba. Aku belum setuju lagi nak kahwin dengan dia tau. Kalau aku berjaya buat dia berubah baru aku akan kahwin dengan dia.”

“Aku tak fahamlah Cinta. Apa sebenarnya ni?”Sarah memandang pelik. Nak tak nak Cinta ceritalah apa yang berlaku.

“Bertuahnya kau Cinta. Tengku Naqiuddin! Jutawan muda tu.”Sarah bersuara gembira.

“Bertuah apa kebendanya. Hari ni saja dah dua tiga kali aku dimarahnya. Dia tu panas baran. Otak pula hanya tahu fikir pasal kerja. Gila duit agaknya mamat tu.”luah Cinta geram.

“Habis kau nak buat apa sekarang?”soal Sarah.

“Tak tahulah. Macam susah je nak ubah perangai sombong,bongkak dia tu. Kau kan pakar dalam hal nak ambil hati lelaki ni. Kau tolonglah bagi idea pada aku macam mana nak buat dia tu mendengar kata.”pinta Cinta bersungguh.

“Erm..aku rasa satu je cara yang ada sekarang ni. Kalau tak menjadi juga tak tahulah aku. Tapi kau kena banyak bersabar.”

“Apa caranya?”soal Cinta tak sabar.

“Kalau kau dah suami isteri bolehlah kau goda dia. Tapi sekarang korang masih bukan muhrim jadi tak boleh lebih-lebih. Aku cadang kau mengurat je mamat tu. Kalau tak cair juga dia memang tak normallah. Duduk dalam hutan lagi baik kalau macam tu.”

Kata-kata Sarah itu membuatkan Cinta terlongo. Mengurat! Eiww..seumur hidupnya tak pernah dia buat kerja tu. Nak bergaul dengan lelaki pun susah ni nak mengurat. Kepalanya digeleng-geleng.

“Tak nak. Tak sanggup aku!”

“Itu aje caranya. Mana tahu korang boleh terjatuh hati dan akhirnya selamat dikahwinkan sekaligus kau boleh mengubah perangai tengku tu. Kalau dia ada hati pada kau nanti senanglah kau nak pupuk dia jadi budak baik.”Sarah tersenyum. Idea Sarah ni memang gila!

Sepanjang malam itu Cinta tidak tidur memikirkan idea gila Sarah. ‘Tapi betul juga kata Sarah tu.’detiknya. Akhirnya Cinta bangun dan berwuduk untuk solat sunat dan solat istaqarah meminta petunjuk Allah. Keesokan paginya Cinta bangun dengan azam dan tekad yang baru. Rasanya keputusan yang bakal dibuatnya nanti adalah keputusan yang tepat.

“Assalamualaikum auntie.”sapa Cinta ketika kakinya sampai ke rumah banglo auntie Ariana. Wanita itu tersenyum sambil menjawab salam Cinta.

“Erm..Naqid ada auntie?”soalnya malu-malu.

“Naqid dah ke pejabat. Semalam Naqid kata Cinta tak sihat sebab tu kena balik awal ye. Sekarang dah okey?”prihatin wanita itu bertanya. Cinta mengerut dahi. ‘Pandai kau menipu ye Tengku Naqiuddin.’

“Dah sihat auntie. Semalam Cinta cuma sakit kepala.”

“Ooh..marilah masuk.”

Cinta menceritakan strateginya kepada auntie Ariana. Dia berharap auntie Ariana akan membantunya dalam melaksanakan misi mengurat ini. Ketawa wanita itu mendengar cadangan Cinta. Cinta pula sudah tertunduk malu.

“Auntie akan bantu Cinta. Auntie tahu yang Cinta ni memang pintar orangnya. Perempuan sebelum ni belum ada yang pernah bagi cadangan macam ni.”

“Inipun cadangan kawan Cinta. Cinta manalah reti hal-hal macam ni.”

“Langkah pertama adalah membuatkan Cinta selalu berada dekat dengan Naqid. Erm..auntie rasa auntie tahu. Cinta boleh jadi setiausaha Naqid.”auntie Ariana memberi cadangan. Tanpa banyak soal Cinta hanya mengikut.

“Nanti auntie cakap dengan Naqid ambil Cinta jadi setiausaha dia. Setiausaha dia sebelum ni dah pindah. Rasanya memang Allah nak permudahkan jalan kita ni.”

Cinta hanya tersenyum. Walau gusar dia akan meneruskan rancangannya itu. Sekarang dah seminggu Cinta menjadi setiausaha Naqid. Mula-mula lelaki itu protes dan menolak cadangan mamanya untuk mengambil Cinta sebagai setiausaha tetapi entah pujukan apa yang auntie Ariana buat akhirnya Naqid setuju.

“Kalau datang sini nak berangan baik tak payah datang!”marah satu suara. Cinta tersentak. Jauh betul lamunannya.

“Maaf Tengku.”jawab Cinta perlahan.

“Itu ajalah modal kau. Maaf,maaf. Lain kali buat cara nak kerja. Jangan nak berangan je.”lelaki itu terus masuk ke bilik. Cinta menarik nafas. Kalau ikutkan hati mahu dia menjerit memarahi lelaki itu. Tetapi mengenangkan misinya dia hanya dia.

“Dah seminggu ni tapi aku masih belum menarik hati dia.”Cinta bercakap sendiri.

Cinta teringat pada satu artikel yang pernah dibacanya di dalam blog tentang cara-cara memikat.

‘Selalunya lelaki akan terpikat dengan gadis yang bersifat lemah lembut dan sopan. Kebiasaanya orang akan terpikat pada sesuatu yang cantik,menarik,merdu dan indah. Tapi jangan salah faham antara menggoda dan memikat. Memikat adalah usaha yang seiringan dengan malu. Mereka memikat bertujuan untuk memiliki. Bagi menggoda pula usaha yang tidak beserta dengan malu. Mereka menggoda menggunakan cara yang tidak wajar sampai menggadaikan maruah diri sehinggalah apa yang mereka goda itu dapat dimiliki.’

Cinta termenung lagi. Susah juga ye. Cinta membetulkan duduk baju kurungnya dan menuju ke pantry. Auntie Ariana cakap yang Naqid suka minum air Horlicks ais. Laju sahaja Cinta menyediakan air itu untuk Naqid. Dia tahu Naqid tidak keluar makan tengah hari tadi kerana terlalu sibuk.

Pintu bilik Naqid diketuk perlahan. Dalam hati tak habis-habis berdoa agar mood jejaka itu baik. Selepas mendengar arahan masuk Cinta memulas tombol pintu. Naqid sedang tekun berada di mejanya dengan fail-fail yang berselerak.

“Ada apa?”soal Naqid tanpa mengangkat kepala.

“Err…”kelu lidah Cinta nak bercakap. Kenapa ni? Kenapa bila depan Naqid dia akan kelu? Naqid mengangkat kepala. Direnungnya Cinta yang cantik berbaju kurung merah jambu senada dengan warna tudung.

“Nak apa?”soal Naqid lagi.

Cinta terus meletakkan air Horlicks ais di atas meja kopi di bahagian sofa. Takut pula kalau diletakkan di meja kerja Naqid kertas-kertas yang berselerak itu akan basah. Naqid hanya memerhati tingkah laku gadis comel itu.

“Aku tak minta air pun.”suara lelaki itu kedengaran dingin.

“Saya saja je buatkan untuk Tengku sebab tengku tak keluar lunch tadi. Tak baik biarkan perut masuk angin. Auntie kata tengku ada gastric jadi tak elok berlapar. Saya keluar dulu.”buru-buru Cinta keluar dari bilik itu.

Wah! Rasa macam baru masuk kandang harimau. Nafasnya dihembus lega apabila sudah melangkah keluar. Inilah kali pertama dia menyediakan minuman untuk lelaki itu sejak seminggu dia bekerja di sini. Biasanya Naqid akan menyuruh tea lady yang buatkan.

Naqid hanya memandang gelas yang terletak di atas meja kopi. Perlahan-lahan dihampirinya. Dia tersenyum kecil bila melihat air yang disediakan Cinta. Kepalanya kembali membayangkan wajah putih bersih itu. Tipulah kalau dia katakan yang dia tidak pernah terusik melihat wajah itu. Seminggu ini juga gadis itu selalu sahaja dimarahinya. Entah! Memang perangainya macam tu. Air di dalam cawan dihirup perlahan. Dia menekan intercom untuk bercakap dengan setiausahanya.

“Cinta,thanks for the drink.”hanya itu yang diucap Naqid.

Cinta sudah tersenyum lebar. Yes! Langkah yang diambilnya menjadi. Hatinya berbunga ceria mendengar lelaki itu mengucapkan terima kasih. Ini kali pertama lelaki sombong itu bercakap baik-baik dengannya. Sepanjang menjalankan tugas Cinta hanya tersenyum. Nampaknya lelaki itu ada perubahan positif.

Diam tak diam dah hampir dua bulan Cinta bekerja satu bumbung dengan Naqid. Tidak banyak perubahan yang dapat dilihat dalam diri Naqid. Mengikut kata auntie Ariana setiap hujung minggu Naqid masih tidak lekat di rumah. Nak dikatakan sebulan tu cukup 30 hari Naqid bekerja. Macam syarikat tu rumah kedua dialah.

“Ermm..tengku.”panggil Cinta perlahan. Naqid yang baru mahu memulas tombol pintu biliknya terhenti. Wajah Cinta dipandang lama.

“Hujung minggu ni tengku tak payahlah datang ke pejabat.”berani Cinta bersuara. Naqid sudah mengerutkan dahinya.

“Kesian auntie. Tak boleh ke sekali sekala tengku duduk rumah menghabiskan masa dengan keluarga? Kalau kerja ni sampai bila pun takkan habis.”ucap Cinta lagi.

Naqid mendekatkan dirinya dengan Cinta. Cinta mula cuak. Langkah diundur setapak demi setapak ke belakang. Waktu ketika itu sudah menunjukkan ke angka 5.30 petang. Cinta memang sengaja memilih waktu habis kerja untuk bercakap dengan lelaki yang kini sudah mula menapak di hatinya. Dalam dia nak mengurat Naqid tu dia pula yang jatuh hati. Orang yang nak nak dipikat pula hanya buat bodoh dengan hati batunya. Cinta tersandar di dinding. Naqid pula semakin menghampiri.

“Tengku jangan nak buat apa-apa pada saya.”Cinta memberi amaran.

“Aku tengok kau ni semakin hari makin cantik pula. Kau pakai lawa-lawa ni untuk siapa? Kau nak pikat aku ke apa?”selamba Naqid bersuara. Dia hanya memeluk tubuh memandang Cinta yang sudah pucat mukanya. Tahu takut! Cinta menunduk malu.

“Mana ada! Saya memang pakai macam ni dari dulu lagi.”bantah Cinta.

“Ye ke. Aku rasa dulu kau taklah bergaya macam ni. Kenapa? Ooh..lupa. Kau kan rapat dengan mama aku. Mesti mama aku bagi kau duitkan untuk kau menggayakan diri kau tu. Sebelum ni semua calon yang mama aku kenalkan adalah dari anak golongan yang kaya. Aku tahu mereka nak rapat dengan aku pun sebab aku ni jutawan. Lepas aku buat tak endah mereka semua tarik diri. Mereka boleh buat macam tu sebab namapun anak orang kaya. Tak dapat aku pun mereka tetap dah kaya. Yang aku peliknya boleh pula gadis biasa macam kau ni bertahan hampir 2 bukan dengan aku. Kau memang teringin sangat ke nak jadi isteri aku? Memang nak sangat rasa jadi kaya agaknya.”sinis kata-kata Naqid. Cinta mengangkat muka. Wajah Naqid dipandangnya dengan perasaan benci.

“Tengku boleh cakap apa yang tengku nak cakap tapi jangan nak hina maruah saya. Saya buat ni pun sebab Pak Lang saya. Sebab uncle Nawab dan sebab auntie Ariana. Mereka ingat saya boleh ubah diri awak tu dan saya yakin saya boleh. Mereka mengharapkan yang awak akan berubah.Tapi ternyata saya silap. Orang macam awak ni takkan berubah dan takkan pernah berubah. Saya cuba ambil hati awak tapi ternyata semuanya gagal. Saya malu pada diri saya sendiri sebab nampak sangat yang saya terhegeh-hegeh nak dekat awak. Nampak sangat yang saya seorang je ada simpan perasaan sayang ni. Saya benci awak Tengku Naqiuddin! Awak memang sombong! Hati batu! Panas baran!”Cinta terus mengambil beg tangan dan berlalu keluar.

Dia bencikan lelaki itu. Tapi lebih dia bencikan adalah pada dirinya sendiri kerana dalam diam telah menyimpan perasaan cinta dan sayang pada lelaki sombong itu. Along,angah,Cinta nak balik. Cinta dah tak nak teruskan lagi! Rintihnya.

Naqid terkelu. Terbayang-bayang lagi wajah Cinta yang merah menahan marah tadi. Kata-kata gadis itu kembali terngiang-ngiang di kepalanya.

‘Saya malu pada diri saya sendiri sebab nampak sangat yang saya terhegeh-hegeh nak dekat awak. Nampak sangat yang saya seorang je ada simpan perasaan sayang ni. Saya benci awak Tengku Naqiuddin! Awak memang sombong! Hati batu! Panas baran!’

Naqid melurut rambutnya ke belakang.

‘Kenapa kau bodoh sangat ni Naqid!’marah hatinya.

‘Yang kau pergi cakap macam tu kenapa? Kalau dah suka cakap je suka. Buang ke laut jelah ego kau tu.’hatinya berbicara lagi.

‘Kenapa tak nak mengaku yang kau juga sudah tertawan pada Cinta Nur Alisya? Cintanya begitu tulus. Gadis itu berusaha mengurat kau tapi kau buat bodoh kononnya nak jaga ego kau tu. Tengok apa yang jadi sekarang!’

Naqid menutup mukanya dengan tapak tangan. Dia salah dalam percaturan. Mungkin dia handal dalam perniagaan tetapi dia kalah dalam soal hati dan perasaan.

‘Kau bodoh Naqid!’berkali-kali ayat itu bergema.

“Mama!”ujarnya tiba-tiba. Pasti mama dapat membantunya dalam hal ni. Dia berdosa pada kedua ibu bapanya itu. Dia selalu mengabaikan keduanya kerana lebih mementingkan hal syarikat. Naqid terus memandu pulang.

“Mama! Mama!”jerit Naqid. Tengku Ariana yang sedang menonton dengan Tengku Nawab tersentak. Wajah anaknya yang muram dipandang pelik.

“Kenapa ni Naqid?”

“Naqid minta ampun. Naqid selalu abaikan mama dan papa. Naqid anak derhaka.”ujarnya sambil bersalaman dengan mamanya. Tengku Ariana memandang suaminya yang hanya mengangkat bahu.

“Kenapa ni Naqid? Tak ada apa pun yang nak dimaafkan.”Tengku Ariana bersuara sebak. Dirasakan anaknya sudah kembali. Naqid yang dahulu sudah kembali. Hatinya mengucap syukur.

“Naqid tahu mama dan papa minta tolong Cinta supaya dapat ubah Naqidkan. Tapi Naqid bodoh. Naqid sombong. Naqid tak hiraukan semua usaha Cinta tu. Naqid dah sakitkan hati dia. Naqid cintakan Cinta.”ujarnya sambil mengalirkan air mata. Kelu Tengku Nawab dan Tengku Ariana kerana anaknya itu menangis. Naqid yang dikenalinya bukan seorang yang mudah mengalirkan air mata. Cinta memang hebat! Bisiknya.

“Apa yang Naqid dah buat pada Cinta?”soal Tengku Nawab.
Naqid menceritakan apa yang terjadi di pejabat tadi. Dia juga menyatakan betapa kesalnya kerana telah menuduh Cinta yang bukan-bukan padahal niat gadis itu ikhlas.

“Kita nak buat apa sekarang ni mamanya?”Tengku Nawab memandang Tengku Ariana yang sudah tersenyum.

“Jom!”arah Tengku Ariana kepada suami dan anaknya.

@@@@@@@@@

Kereta yang dipandu Naqid berhenti di depan rumah Pak Lang Cinta. Naqid hanya menurut mama dan papanya. Dia juga belum pernah lagi menjejakkan kaki di rumah keluarga Cinta ini. Dia menyesal bila mengingati kesombongannya itu padahal Pak Lang Cinta tu kawan baik papa.

“Assalamualaikum tuan rumah.”laung Tengku Ariana. Tidak lama kemudian keluar Halim dan Mariam.

“Waalaikummusalam. Masuklah Nawab,Ana.”pelawa Halim.

“Ini anak kami Tengku Naqiuddin.”ujar Tengku Nawab memperkenalkan.

“Ooh..inilah Naqib nya. Hensem budaknya.”puji Mariam.

Semua tetamunya dijemput masuk. Mata Naqib memerhati sekeliling mencari kelibat si pujaan hati. Itulah,masa depan mata tak hargai. Mama dan papanya hanya tersenyum melihat kelakuan Naqib.

“Kami datang ni bawa hajat.”

“Apa hajatnya Nawab?”

“Macam ni Halim. Kami datang ni nak merisik Cinta untuk anak lelaki kami ni. Tengku Naqiuddin.”

Halim dan Mariam saling berpandangan. Tidak percaya apa yang mereka dengar.

“Betul ke?”soal Mariam minta kepastian.

“Betul. Anak teruna kami ni dah berkenan dengan si Cinta tu. Apa yang boleh saya kata Cinta berjaya ubah anak kami ni.”Tengku Ariana tersenyum lebar.

“Alhamdullilah. Yam,pergi panggil Cinta.”arah Halim. Mariam seperti keberatan.

“Dari balik tadi Cinta asyik berkurung dalam bilik. Tadi saya tengok dia menangis. Tak tahulah kenapa dengan budak tu.”ujar Mariam perlahan.

Naqid yang mendengar sudah tak senang duduk. Itu salahnya! Cinta menangis kerananya!

“Boleh saya jumpa dia?”pinta Naqid perlahan.

Empat pasang mata memandang ke arahnya. Halim mengangguk memberi persetujuan.

“Bilik Cinta yang pintunya warna pink di tingkat atas tu. Kalau nak berbincang jangan dalam bilik pula tau.”pesan Mariam. Naqid mengangguk dan berlalu ke atas.

Pintu bilik bewarna pink diketuk perlahan tetapi tiada sahutan. Naqid mencuba lagi. Masih tiada sahutan. Mahu sahaja dia memulas tombol itu dan menyerang masuk tetapi itu bukan prinsipnya. Dibuatnya kalau masa dia menyerang masuk tu Cinta sedang berkemban ke tak ke naya. Naqid menggelengkan kepalanya. Ada pula membayangkan yang bukan-bukan.

“Astaghfirullahalazim.”ujar beberapa kali. Tangannya kembali mengetuk pintu.

“Cinta tak lapar Mak Lang.”terdengar suara Cinta yang serak menjawab. Mesti baru lepas menangis.

Naqid masih mengetuk. Cinta yang mula bosan mula bangun dan ingin membuka pintu. Sempat air mata yang mengalir diseka. Dia tidak mahu Mak Langnya risau. Sebaik pintu dibuka Cinta terus bersuara…

“Cinta tak lapar Mak Lang.”ulangnya dengan ayat yang sama. Apabila Cinta mendongak matanya terus membulat. Bukan Mak Lang tetapi jejaka Arrogant pujaan hatinya. Cinta terus masuk dan menutup pintu kembali. Dia tidak bertudung tadi. Argh!! Naqid dah tengok rambutnya.

Naqid pula masih terkedu. Walaupun muka Cinta sembab tapi gadis itu memang cantik. Terpegun dia sebentar tadi. Cepat-cepat dia beristghfar lagi. ‘Kalau macam ni kena kahwin cepat ni.’

“Cinta,saya datang nak minta maaf ni. Saya tahu saya salah. Saya sedar yang saya ni bodoh,sombong,hati batu,panas baran. Sebab itu saya memerlukan awak di sisi saya. Saya tahu saya ni ego. Saya tak nak mengaku yang selama ni saya dah jatuh hati pada setiausaha saya sendiri yang setiap hari sabar mengurat saya dalam diam. Saya minta maaf Cinta.”ucap Naqid di luar pintu.

Cinta yang mendengar di sebalik pintu terdiam. Ikhlaskah kata-kata lelaki itu? Tudung disarungkan di kepala.

“Saya janji setiap hujung minggu saya akan menghabiskan masa dengan keluarga je. Saya akan letakkan segala urusan syarikat ke tempat kedua. Keluarga yang paling penting sekarang ni. Saya dah berubah dan ini semua gara-gara awak. Bukaklah pintu ni Cinta. Saya minta maaf.”rayu Naqid lagi. Terharu Cinta mendengarnya.

Perlahan-lahan pintu dibuka. Cinta memandang Naqid yang sudah tersenyum. Lain benar Naqid ini dan Naqid yang mula-mula dikenalinya dulu. Nampak sangat perubahannya.

“Saya tak ada cakap pun awak bodoh. Saya cuma cakap awak sombong,hati batu dan panas baran. Yang satu tu saya tak ada cakap pun.”Cinta tersenyum melihat Naqid yang terpinga-pinga.

“Yang itu saya sedar sendiri. Saya bodoh sebab tak mengaku yang saya sebenarnya cintakan awak Cinta Nur Alisya. I really meant it.”romantic Naqid mengucapkan. Cinta sudah tertunduk malu.

“Dah,dah. Jangan nak buat lebih-lebih pula. Tunggu kahwin dulu.”suara Halim kedengaran dari tingkat bawah. Muka Cinta sudah merah menahan malu.

“Kalau nak beromantik pun sampai tak kena tempat. Depan pintu bilik juga dibuatnya.”Cinta dengar suara alongnya mengusik. Makin malulah.

“Mari turun sini. Ada benda yang penting harus dibincangkan.”suara Tengku Nawab pula kedengaran. Cinta rasa nak masuk bilik dan kunci pintu sahaja. Semua orang dah dengar apa yang dibual dan dirayu Naqid tadi.

“Jom!”Naqid ajak perlahan. Dia juga malu sebenarnya. Mereka berdua melangkah turun ke bawah. Semua mata sudah memandang. Cinta terus duduk di sebelah Mak Lang selepas bersalaman dengan auntie Ariananya.

“Kita semua pun dah dengar dah tadi pengakuan berani mati budak berdua ni. Kalau dah dua-dua sama suka kita nikahkan ajelah.”tukas Tengku Nawab.

“Kami tak ada bantahan tapi kena tanya tuan punya badanlah.”pak Lang memandang Cinta. Semua mata memandang Cinta. Cinta memandang kedua abangnya yang sudah mengangguk. Restu abang-abangnya sama penting dengan restu Pak Lang dan Mak Lang.

“Apa jawapan Cinta?”soal Tengku Ariana tak sabar. Cinta sudah tertunduk malu.

“Kalau diam tandanya setujulah tu.”jawab Mak Lang bagi pihak Cinta. Dia tahu Cinta malu.

Semua mengucap syukur. Tengku Ariana menghampiri Cinta dan dipeluknya erat. Air mata wanitanya mengalir.

“Terima kasih Cinta kerana dah ubah perangai Naqid dan terima kasih kerana sudi jadi menantu mama.”sedih wanita itu bersuara.

“Aik! Belum apa-apa dah panggil mama.”gurau Tengku Nawab menceriakan suasana.

Cinta memandang semua ahli keluarganya yang gembira. Matanya bertemu pandang dengan jejaka arrogantnya. Hanya mereka yang faham maksud isyarat mata yang dihantar.

‘Terima kasih Cinta. Saya sayang awak.’begitulah isyarat mata Naqid yang dapat Cinta tafsir.

‘Saya sayang awak juga.’itu pula jawapan dari Cinta. Mereka berbalas senyum sebelum ditangkap oleh ahli keluarga yang lain. Ya Allah moga jodoh ini kekal dan abadi selamanya. Aminn….

*Kredit kepada Neny yang share melalui Mahligai Groups*
*Panjangkan perkongsian supaya dapat dinikmati bersama*

Comments

Popular posts from this blog

CERPEN: AKU NAK DOKTOR BUKANNYA PILOT

BIOGRAFI NABI MUHAMMAD SAW - BAHAGIAN PERTAMA