CERPEN: BERLARI KE SYURGA
Ahli-ahli usrah ummi yang duduk berkumpul diruang tamu aku
pandang sekilas sebelum melemparkan senyuman kepada ummi. Rumahku memang
dijadikan tempat perjumpaan pada setiap malam Jumaat. Kakiku kubawa ke dapur.
Gelas dicapai dan diisi dengan air suam. Sudah menjadi tabiatku untuk minum air
suam sebaik sahaja pulang dari mana-mana. Punggung kulabuhkan ke kerusi.
Dengan bacaan
basmallah, aku meneguk minumanku mengikut sunnah junjungan mulia Rasulullah
S.A.W. Dari dapur, kedengaran suara ummi yang baru sahaja mahu memulakan
aktiviti usrahnya. Ruang tamu dan dapur yang hanya dipisahkan dengan batuan
marmar paras pinggang membolehkan aku melihat wajah ummi dari tempat dudukku.
“Assalamualaikum
semua? Alhamdulillah dengan izin Allah kita dikumpulkan disini pada hari ini
dan insyaAllah kita akan berkongsi ilmu serta memperbaiki diri. Baiklah kita
ada ahli yang baru sahaja menyertai usrah kita. Boleh perkenalkan diri dan
ceritakan sedikit tujuan kamu menyertai usrah?”
“Assalamualaikum
semua! Saya Najla dan saya masuk usrah sebab saya nak pergi meminang Inche
Gabbana!”
‘Puuuuuuurrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrr!”
Tersembur air yang sedang kuminum. Gadis bertubuh tinggi yang sedang berdiri
dengan yakin aku perhatikan dari kalangan ahli usrah ummiku. Wajahnya tidak
langsung menunjukkan yang dia malu dengan kata-katanya tadi.Wajah ahli usrah
yang lain tak usah ceritalah, masing-masing tercengang. Paling ketara Makcik
Sameah, akhawat yang paling lama berusrah dengan ummiku. Jiran sebelah rumahlah
katakan..
Perlahan aku
bangun dan mengatur langkah ke bilik tidurku dengan senyuman.
“Mubarak, ummi
nak tanya.” Aku terus menutup buku yang sedang kubaca lantas mengambil tempat
disebelah ummiku yang sudah duduk dibirai katil.
“Ya ummi?”
“Siapa Inche
Gabbana tu?” Soalan yang sudah dapat kujangka. Sejak dari tamat perjumpaan
dengan ahli usrahnya aku lihat ummi seperti sedang memikirkan sesuatu. Ummi,
tak akan senang duduk jika tidak mendapat jawapan.
“Tak silap
Mubarak, Inche Gabbana tu penulis blog dan daie, ummi,” jawabku seringkas yang
mungkin. Siapa tak kenal penulis blog Angel Pakai Gucci? Setiap entri boleh
mencapai ribuan atau mungkin jutaan pembaca. Entri yang memberi nasihat,
pandangan dan yang paling penting dakwah. Di Facebook, penulis blog ini juga
sentiasa menulis status-status yang bisa menyentuh hati para pembaca.
“Oh begitu.
Terkejut ummi tadi bila anak usrah ummi cakap nak pinang Inche Gabbana tu. Ummi
ingatkan artis mana entah.” Aku hanya mampu tersenyum. Biasalah macam-macam
gaya anak remaja sekarang ini. Tapi sekurang-kurangnya gadis tadi ingin
meminang seorang daie. Mungkin dia ada sebabnya yang tersendiri.
“Ummi, bukan ke
usrah ummi ni untuk makcik-makcik sahaja? Macam mana budak tu boleh termasuk
usrah ummi ni?” Giliran ummi pula tersenyum. Wajah putih bersih ummi tak
perlukan sebarang solekan. Pipi dan bibir ummi merah secara semulajadi. Ramai
jugalah pakcik-pakcik yang meminang ummi setelah arwah walidku meninggal dunia
namun ummi tolak secara baik dan untuk mengelak dari terus diganggu, ummi
mengenakan niqab. Kasih ummi hanya pada arwah walid dan kini katanya dia mahu
mengumpul saham akhirat supaya dapat bersama dengan arwah walid di syurga kelak…insyaAllah.
“Tak kisahlah
Mubarak. Asalkan dia mahu belajar masuk usrah mana pun tak apa kan?” Aku
menganggukkan kepala tanda setuju.
“Esok kerja
kan? Tidur awal, boleh bangun qiam nanti. Assalamualaikum,” pesan ummi sebelum
bangun dari duduknya. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Sudah menjadi
kebiasaan ummi untuk tidur awal dan bangun malam untuk menunaikan solat-solat
sunat. Amalan nabi dan para sahabat yang membuahkan pahala.
“Waalaikumussalam.
InsyaAllah ummi.” Tangan ummi kugamit dan kukucup dengan penuh kasih. Ummi
seorang wanita yang tabah dalam membesarkan aku selepas arwah walid pergi
menemui Illahi. Ummi mengambil upah menjahit dan pada waktu pagi menjual nasi
lemak dihadapan rumah kami. Setelah aku tamat pengajian dan housemanship, aku
menyuruh ummi berhenti bekerja kerana giliran aku pula menyara ummiku. Ummi
bukan jenis yang duduk diam. Terus sahaja dia berusrah dan mengajar kanak-kanak
mengaji Al-Quran secara percuma.
_ _ _ _ __ _ _
_ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _
“Awak…awak?”
Aku segera menoleh ke arah suara yang menegur. Wajah gadis itu kuteliti. Macam
pernah nampak…
“Awak anak
Ustazah Hasnah kan?” soal gadis itu dengan wajah teruja. Aku hanya mengangguk.
Bila masa pula ummi aku jadi popular ni?
“Ye ada apa
yang boleh saya bantu?”
“Macam ni, saya
nak tanya kalau nak meminang orang lelaki, saya kena bawa tepak sirih juga ke?
Amalan ni kira adat orang Melayu ke memang kita orang Islam kena buat macam
tu?” Wajah kudus + selamba gadis itu aku pandang dengan muka tak percaya.
Okey aku dah
ingat dah budak perempuan ni! Ini betul-betul serius nak pergi meminang Inche
Gabbana yang identiti luarnya tak diketahui ramai.
“Itu adat
Melayu kita sahaja. Islam ini mudah. Jika suka pada seseorang lelaki, perempuan
itu boleh menghantar wakil untuk menyatakan hasrat. Tak payah nak tepak sirih
dan hantaran bagai. Oh lelaki itupun tak payah nak duduk bersimpuh sopan dekat
pelamin,” jawabku dengan senyuman. Gadis itu tersenyum puas hati.
“Okey terima
kasih ye! Lain kali kalau nak tanya apa-apa saya cari awak ye?” Ah sudah!
Karang lain pula yang jadi.
“Err..saya rasa
lebih baik kalau cik terus tanya pada ummi saya jika ada apa-apa kemusykilan
sebab jika cik berjumpa saya seorang diri macam ni akan menimbulkan fitnah,”
dengan cermat akan menyuarakan kebimbanganku. Bukan aku tak mahu tolong tapi
kena ingat diantara perempuan dan lelaki bukan mahram ada yang ketiga.
“Oh bukan apa,
kadang-kadang tu nak tanya tapi belum sempat apa-apa dah kena jeling dengan
makcik-makcik dalam bulatan gembira tu.” Wajah mendung gadis itu kupandang
kasihan. Antara sebab-sebab dijeling tak lain tak bukan adalah kerana sifat
gadis ini yang suka bertanya soalan-soalan yang agak pelik dan ekstrem pada
golongan makcik-makcik itu padahal ummi relaks je.
“Okeylah macam
ni, lain kali kalau nak tanya apa-apa, tanya masa makcik-makcik tu dah balik.
InsyaAllah ummi saya tak ada masalah bab-bab nak menjawab pertanyaan cik.”
Cadangan yang aku harap membantu. Wajah gadis itu kelihatan seperti sedang
berfikir sebelum mengangguk.
“Okey. Oh nama
saya Najla. Tak payahlah nak ber’cik-cik’ sangat dengan saya.” Tangannya
dihulur kepadaku untuk bersalaman. Aduh ummi tak cerita pasal aurat antara
lelaki dan perempuan lagi ke kat dia ni?
“Err..nama saya
Mubarak. Maaf kita bukan mahram jadi tak boleh bersentuhan.” Senyuman seikhlas
mungkin kulempar pada Najla.
“Oh sorry..saya
ni bab-bab agama memang fail.” Tangannya ditarik semula dengan wajah selamba.
“Baiklah kalau
tak ada apa-apa saya nak gerak dulu.”
“Mubarak!”
“Ye?”
“Kirim salam
kat ummi ye?” Aik bila masa pula ummi aku ambil dia jadi anak angkat? Aku hanya
mengangguk sebelum berjalan menuju ke keretaku.
_ _ _ _ __ _ _
_ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ ________________
“Mubarak dah
ada calon menantu untuk ummi ke?” Soalan tiba-tiba dari ummi membuatkan aku
sesak nafas. Masuk kali ini dah tiga kali ummi bertanyakan tentang calon
menantunya.
“Err..kenapa
ummi? Ada orang datang meminang Mubarak ke?” selorohku untuk menenangkan diri.
Teringat pula pada Najla yang hendak meminang Inche Gabbananya. Dah pergi
pinang ke belum? La…apahal pula aku teringat kat budak tu hari-hari minggu ni?
“Hmm tadi
makcik Sameah bertanyakan tentang kamu, anak dia si Asilah tu macam berkenan
dengan kamu.” Gulp! Biar betul! Serius aku kurang berkenan dengan Asilah yang
selalu aku nampak melepak dekat benteng dengan lelaki-lelaki yang entah dari
ceruk mana. Aduilah macam mana nak jawab? Aku tak mahu buka aib orang..
“Ummi, biar
Mubarak buat isikharah dulu boleh? Tapi jujur Mubarak cakap, Mubarak tak ada
perasaan pada Asilah tu.” Ummi hanya senyum. Bukan sifat ummi untuk memaksaku.
Dari kecil lagi, dia tak pernah memaksa aku untuk melakukan apa-apa kecuali
bab-bab menjaga ibadah solat dan adab pergaulan.
“Tak apa
Mubarak, ummi tolong tanyakan sahaja. Nanti apa-apa beritahu ummi ye?”
“InsyaAllah
ummi.” Dengan umur yang lagi berapa tahun nak ke 30, aku tahu ummi teringin
untuk melihatku mendirikan rumah tangga tapi apakan daya, jodoh itu ditangan
Allah.
_ _ _ _ __ _ _
_ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ ______________
“Assalamualaikum.”
Seperti kukenal sang pemilik suara tapi berlainan sungguh luarannya
“Waalaikumusalam.”
“Mubarak! Ni
Najla lah!” Mungkin dia melihat aku seperti tak kenal akan dia lalu dia
memperkenalkan diri.
“Oh
Najla..alhamdulillah Najla dah berhijab mengikut syarak.” Dengan baju kurung
dan tudung yang mengikut syarak, Najla tampak lebih sopan dan kulihat wajahnya
juga lebih ceria berbanding dulu.
“Alhamdulillah
berkat usaha ummi yang sabar mendidik saya. Okeylah Mubarak saya nak beli
barang ni. Kirim salam kat ummi ye? Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.
InsyaAllah..” Najla memang berusaha untuk berubah. Boleh kata Najla sering ke
rumah untuk berguru dengan ummi walau bukan pada hari usrah pun. Ummi memang
seronok apabila ada teman dirumah dan dari cerita ummi, Najla rajin bertanya
dan sanggup mentelaah kitab-kitab koleksi ummi untuk mendalami ilmu agama.
Pergh adakah ini penangan cinta Inche Gabbana?
_ _ _ _ __ _ _
_ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _______________
Cukup tiga
malam aku membuat istikharah. Aku bermimpi berlari berkejaran di sebuah padang
rumput yang luas bersama seorang gadis. Apabila gadis itu berpaling, aku memang
terkejut besar lantas terjaga dari tidurku. Biar betul!!
“Ummi, Mubarak
dah buat keputusan..” wajah ummi terus ceria apabila mendengarkan keputusan
yang aku telah buat. Aku tak tahu sama ada aku membuat keputusan yang tepat
atau tidak tapi hati aku tenang apabila menyuarakan hasratku pada ummi.
_ _ _ _ __ _ _
_ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _______________
“Alhamdulillah,
mereka terima Mubarak.” Wajah ceria ummi kupandang dengan penuh kelegaan.
Dadaku terasa dipenuhi oksigen semula. Dari tadi aku berdebar menunggu
keputusan diluar perkarangan rumah teres dua tingkat itu.
“Tapi, si dia
nak bertemu dengan Mubarak sebentar.” Ummi menunjukkan ke arah gadis yang
sedang berdiri ditepi buaian didalam kawasan rumah. Aku hanya mengangguk lalu
berjalan menuju ke arah gadis yang sudah menjadi tunanganku kini.
“Assalamualaikum.”
Salam kuberi sebaik sahaja gadis itu berada didalam ‘radius’ selamat. Jarak
diantara aku dan dia tidak terlalu jauh dan tidak terlalu dekat. Masing-masing
ingin menjaga ikhtilat.
“Waalaikumusalam,”
jawab si gadis lantas menundukkan pandangan.
“Kenapa pilih
saya?” soalan yang terus dilontarkan oleh si gadis membuatkan aku tersenyum.
“Sebab saya
rasa awak pilihan yang tepat untuk saya insyaAllah..”
“Awak sendiri
tahu niat asal saya untuk berubah kan? Jadi kenapa masih mahu meminang saya?”
soalnya lagi.
“Itu dulu dan
kini saya dapat lihat yang awak ikhlas berubah kerana Allah dan bukan kerana
Inche Gabbana lagi. Betul kan Cik Nur Najla Marissa?” Najla terus tersenyum
lalu mengangguk perlahan.
“Alhamdulillah.
Ummi nasihatkan saya supaya berubah kerana Allah bukan kerana manusia lain.
Awak tak nak tanya ke apa niat saya nak pergi meminang Inche Gabbana tu?” Aku
menggeleng kepala.
“Saya rasa awak
akan beritahu juga bila awak dah sedia.”
“Baik saya
beritahu sekarang supaya awak boleh balik dan fikir sama ada awak mahu teruskan
pertunangan ini atau tidak okey?” Aku berfikir sejenak sebelum mengangguk.
Najla memalingkan pandangan ke arah pokok-pokok bunga dihalaman rumahnya.
“Dahulu saya
seorang yang hanya Islam pada kad pengenalan dan tak pernah pun menjalankan
tanggungjawab saya kepada Allah. Mungkin kerana wajah saya tak seperti orang
Melayu maka orang tak kisah pun bila saya makan secara terang-terangan di bulan
Ramadan atau masuk ke kelab-kelab hiburan. Ye, ayah saya Canadian dan ibu saya
pula berketurunan Cina kerana nenek saya dulu masuk Islam sebab kahwin dengan
lelaki Melayu. Sejak dari kecil saya tidak diberi didikan agama dari keluarga.
Tambahan pula, saya dimasukkan ke sekolah antarabangsa dimana subjek agama
Islam boleh diambil jika saya mahu dan terus terang saya katakan yang saya tak
berminat langsung untuk belajar tentang agama Islam.” Mengucap panjang aku
mendengar cerita Najla. Kulihat ada air mata yang mengalir dari sudut sisi
wajah Najla. Apakan daya, dia bukan mahramku untuk aku kesat air matanya dengan
jariku sekarang.
Dengan
mengambil nafas panjang, Najla meneruskan penceritaannya. “Entah macam mana,
satu malam tu semasa saya sedang online mencari baju baru untuk ke parti hari
jadi kawan saya, saya termasuk website Inche Gabbana tu. Entah apa kejadahnya
blog yang diberi nama Angel Pakai Gucci itu. Sangka saya blog perempuan yang
suka shopping.” Najla ketawa sebelum menyambung kembali ceritanya.
“Entri yang
saya baca ialah “Pada Firaun Ada Harapan”, seluruh tubuh saya menggigil dan air
mata tu tak usah ceritalah memang turun laju kalah Niagara Falls. Esoknya saya
bertanya kepada kawan-kawan saya macam mana saya nak mendalami Islam. Semua
pakat gelakkan saya dan terus mengatakan yang saya dah buang tabiat nak mati.
Saya tinggalkan mereka dan terus berjalan-jalan seorang diri dekat kawasan
perumahan awak tu. Tengah jalan-jalan tu saya terdengar suara seorang perempuan
yang tengah macam menyanyi tapi lain macam pula lagu tu. Saya terus
mencari-cari suara itu and guess what? Itu suara ummi awak yang sedang mengaji.
Bila saya cakap saya nak belajar agama dengan ummi awak, dia terus senyum dan
mengajak saya untuk menyertai usrah malam tu. Balik je rumah syaitan mula
menghasut saya. Saya macam terfikir betul ke apa yang saya buat ni? Saya
endahkan dan malam itu saya pergi juga ke rumah awak.”
“Balik sahaja
dari usrah saya macam hilang keyakinan sebab semasa mereka bertilawah, saya
hanya membaca tafsir sebab saya memang tak reti mengaji. Pernah juga saya
terfikir nak berhenti menyertai usrah sebab saya rasa macam saya tengah
memperbodohkan diri saya sendiri tapi bila saya fikir secara mendalam dan
berbincang dengan ummi awak, saya rasa saya akan jadi lebih bodoh dan jahil
tahap gaban jika saya berhenti sekarang dan kembali kepada kehidupan lama yang
memang gelap tu. Alhamdulillah setelah belajar dan ummi yang tak putus asa
dalam mendidik saya dari sekecil-kecil perkara sehinggalah saya faham apa itu
Islam serta tujuan hidup, saya tahu yang saya dah buat keputusan yang tepat dan
yakin Allah sayangkan saya. Sekarang saya sedang cuba mentarbiyahkan kedua
ibubapa saya. Alhamdulillah mereka yang pada mulanya memandang pelik akan
perubahan saya kini sudah mula menunjukkan minat.”
“Jadi apa
kaitannya dengan meminang Inche Gabbana?” tanyaku dengan penuh minat.
“Oh lupa pula
nak cerita tang tu hahaha…okey sebelum jumpa ummi awak, saya ingat saya kena cari
seorang lelaki yang boleh membimbing serta mentarbiyahkan saya dan ahli
keluarga saya. Inche Gabbana pada ketika itu saya rasakan sebagai manusia yang
paling tepat untuk saya pilih.”
“Walaupun awak
tak tahu rupa dia macam mana?”
“Yup! Nekad
sungguh ketika itu. Bila difikirkan balik, kenapa harus saya harapkan orang
lain untuk berubah dan bukan saya sendiri yang memulakan usaha untuk berubah?”
Aku mengangguk tanda setuju. Aku mengambil nafas sebelum menyuarakan
pandanganku.
“Najla,
bersyukurlah yang awak diberi hidayah dari Allah dan dibukakan jalan untuk
kembali kepadaNya. Saya tak kisah jika awak ada masa lampau yang gelap kerana
apa yang didepan mata saya sekarang yang saya pandang dan insyaAllah saya akan
cuba menjadi seorang yang boleh membimbing awak untuk kita sama-sama berlari ke
syurga Allah.” Kulihat matanya mula bergenang dan mengucap syukur.
“Baiklah Najla,
jumpa pada hari akad nikah kita nanti. Assalamualaikum.” Najla menjawab salamku
sebelum masuk semula ke dalam rumahnya. Ummi yang dari tadi memerhatikan kami
dari dalam rumah kulihat meminta diri untuk pulang. Tenang hatiku setelah
berbicara dengan Najla. Siapa aku untuk menilai Najla dari masa lampaunya? Dia
diantara manusia yang beruntung kerana diberikan hidayah dari Allah dan aku
sendiri telah melihat usahanya untuk menjadi seorang muslimah. Sesungguhnya aku
dapat rasakan yang aku sebenarnya yang bertuah kerana dipilih oleh Najla.
_ _ _ _ __ _ _
_ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _ _ __ _ _______________
Beberapa bulan
kemudian….
“Ummi!! Ada entri
baru dari Inche Gabbana!!” Aiseh jeritan keterujaan Najla membuatkan aku
terkejut seketika.
“Mana? Mana?”
Ummi yang berlari-lari dari dapur sudah hilang ayunya. Sekarang seronok pula
dia melayan menantunya yang asal online sahaja buka blog Inche Gabbana. Ummi
sekarang dah jadi pengikut tegar Inche Gabbana dek terjebak dengan Najla ni.
“Pergh…kalau
ummi ada anak perempuan memang ummi pinangkan Inche Gabbana ni untuk anak
perempuan ummi tu.” Najla yang sudah terkekeh ketawa membuatkan aku tersenyum.
Hmm dia teringat kisah ‘dolu-dolu’ dia lah tu
“Amboilah
korang…Mubarak kat sini pun dah jadi invisible dek melayan sangat blog tu.”
Najla tersengih lalu memaut manja lenganku.
“Aiseh, ini
worang sudah jealous ka?” Hidung mancung Najla kutarik. Geram betul dengan
isteriku yang nakal ini.
“Oh ye, Najla
dah tempah dah tempat untuk kita bercuti. Abang dah ambil cuti kan?” Ummi yang
masih melayan entri Inche Gabbana membuatkan aku tersenyum sebelum mengangguk.
Sejak berkahwin, aku dan Najla tinggal bersama ummi. Bukan aku tak mampu untuk
membeli rumah tapi kerana ingin menjaga ummi dan ummi tak mahu berpindah dari
rumah peninggalan arwah walid. Alhamdulillah Najla seorang isteri yang sangat
memahami dan dia memang ‘kamcheng’ dengan ummi aku. Rumah tangga yang dibina bakal
bertambah serinya dengan kelahiran anak sulung kami insyaAllah empat bulan dari
sekarang. Ummi dan isteri, dua wanita yang menjadi sumber kekuatan. InsyaAllah
kami sekeluarga sama-sama berusaha berlari menuju ke syurga Allah.
KETAHUI LEBIH LANJUT MENGENAI BERLARI KE SYURGA DENGAN MEMBACA BUKU YANG DIGARAP OLEH USTAZ AHMAD DUSUKI ABD RANI.
SILA KE https://bukugaleri.blogspot.my/2017/01/berlari-ke-syurga.html
kredit to owner: http://isterikuicequeen.blogspot.my/
kredit to owner: http://isterikuicequeen.blogspot.my/
Comments